Saturday 11 July 2015

Parang: Senjata Survival Paling Ideal


Parang memiliki pelbagai kegunaan dari sudut pertukangan, beladiri dan kegunaan harian. Ia boleh dikatakan sebagai alatan pelbagai guna (multi purpose tools) yang mesti dimiliki oleh setiap orang pada zaman dahulu. Dengan hanya berbekalkan sebilah parang anda mampu survivie dengan bergantung pada sumber alam. Parang boleh digunakan untuk menebang pokok, membentuk kayu, meraut, memotong, menebas, dan mengetuk.


Bayangkan anda sesat di dalam hutan. Apakah peralatan asas yang penting yang perlu ada di dalam tangan untuk anda selamat dalam situasi tersebut? Seperti kata pepatah orang tua-tua  " Berjalan ke pasar bawalah dompet, masuk hutan bawalah parang"


4 asas penting dalam situasi survival:

1. Perlindungan (shelter)
2. Makanan (food)
3. Keselamatan (protection)
4. Sumber air (water supply)


1. Perlindungan (shelter)

Dengan berbekalkan parang anda boleh membuat pondok sementara.
Membuat pondok dalam hutan menggunakan parang.


2. Makanan (food)

Anda boleh hasilkan jerat ringkas dengan hanya menggunakan parang. Sekiranya terdapat pohon buluh anda boleh hasilkan bubu untuk menangkap ikan.

Membuat jerat burung


Batak membuat busur dan panah menggunakan buluh dan parang


3. Keselamatan (protection)

Parang merupakan antara senjata beladiri yang praktikal dari ancaman musuh dan binatang buas.
Parang sangat efektif dalam pertarungan jarak sederhana. Ia memiliki kelebihan dalam menghadapi lawan yang menggunakan senjata pendek seperti pisau.



4. Sumber Air (water supply)

Sumber air minuman adalah perkara paling penting dalam situasi survival. Dengan menggunakan buluh berdiameter serdahana anda boleh hasilkan botol/bekas menyimpan air dan membuat penapis air (water filter)

Kaedah menapis air menggunakan buluh dan menyimpan air.


Botol air buluh yang dihasilkan dengan parang


Tuesday 23 June 2015

Realiti Serangan Senjata VS Buah Fantasi



Dalam kebanyakan silibus pembelajaran silat terdapat buah-buah yang digunakan untuk menyambut senjata. Namun terdapat banyak buah-buah yang tidak praktikal dan tidak boleh dilaksanakan dalam situasi sebenar. Bayangkan jika terdapat pesilat yang terlalu yakin dengan buah yang dipelajari. Risikonya jika berlaku situasi seperti diserang oleh perompak beliau boleh tercedera atau terbunuh dalam cubaan untuk mempertahankan diri.

Saya pernah terbaca dua artikel yang menggambarkan keadaan ini. Pertama, berita mengenai seorang lelaki yang terbunuh kerana ditikam perompak ketika mengejar perompak yang menceroboh rumahnya. Dan kedua, seorang pesilat wanita yang mati ditikam apabila diserang oleh kekasihnya sedangkan beliau mampu untuk melarikan diri. Pada andaian saya, kedua-dua pesilat ini mampu untuk menghindari pertarungan, namum memilih untuk berlawan kerana yakin dengan ilmu persilatannya.

Perlawanan senjata tidak seperti tangan kosong. Sangat berbeza. Satu libasan pisau ke urat leher mampu untuk membunuh anda. Pergerakan anda boleh terbatas jika peha anda ditikam. Serangan senjata berlaku dalam keadaan yang tak diduga dan selalunya pertarungan senjata berakhir dengan pantas.

Pada zaman dahulu pesilat berlatih (sparring) menggunakan kayu bagi menggantikan senjata tajam. Latihan sparring dilakukan seolah-olah dalam situasi sebenar dimana pesilat menikam dan melibas dengan bersungguh-sungguh bagi melatih naluri dan gerak. Hasilnya, pesilat dapat menjangka arah serangan dan tikaman dari latihan yang lasak ini.


Latihan Sparring Senjata

1. Latihan senjata dilakukan secara berpasangan.

2. Gunakan senjata latihan (senjata tiruan). Atau kayu yang tumpul. Senjata yang disyorkan ialah pisau dan parang. Kerana dalam situasi sebenar kedua-dua senjata ini paling popular, praktikal dan kebanyakan penjenayah menggunakan senjata ini.

3. Mindset penyerang.
Sebagai watak penyerang anda gunakan apa cara sekalipun untuk melukakan dan mencerakan lawan anda. Pelbagaikan serangan, acahan dan manfaatkan peluang yang ada walaupun sekadar hirisan di lengan atau kaki. Sebagai watak penyerang anda boleh jadi agresif tidak kira cara apa sekalipun anda hendak menewaskan lawan.

4. Kepelbagaian situasi
Watak bersenjata VS Watak tidak bersenjata
Watak bersenjata VS Watak besenjata

Contoh Latihan Senjata



Anda mungkin berminat membaca Sifir Senjata Dan Jarak


Situasi Sebenar Serangan Senjata
(Amaran! video ini mengandungi imej sebenar situasi serangan senjata yang sangat grafik dan ganas,)




Kata Bruce Lee:
"Aku tidak gentar orang yang berlatih 10,000 jenis tendangan. Aku gentar pada orang yang berlatih SATU tendangan 10,000 kali"

Thursday 11 June 2015

Sifir Senjata Dan Jarak


Dalam situasi pertarungan senjata nyawa menjadi taruhan dan penilaian terhadap senjata dan jarak adalah sangat penting. Contohnya jika kita menggunakan kerambit dan pihak lawan menggunakan parang, maka kita berada dalam kelemahan (disadvantage) apabila pihak lawan akan cuba mengekalkan jarak sederhana yang efektif untuk parang sedangkan kerambit sesuai untuk jarak rapat. Oleh itu analisa sebelum pertarungan adalah sangat penting. Kenalpasti senjata di tangan anda dan pihak lawan dan dapatkan jarak efektif.

Secara amnya jarak efektif senjata terbahagi kepada 4:

1. Jarak rapat

- Kerambit
- Kapak siam
- Buku lima

2. Jarak dekat

- keris
- Pisau, belati, tumbuk lada
- Golok pendek

3. Jarak sederhana

- parang
- pedang, sundang
- keris panjang
- kapak
- tekpi

3. Jarak jauh

- tombak
- tongkat dan kayu
- pedang panjang


Tips Penggunaan Senjata

1. Hanya untuk situasi mengancam nyawa sahaja. (Life or death situations). Elakkan pertarungan seboleh mungkin.
2. Lawan hanya jika yakin menang. Lari jika sebaliknya
3. Jangan mengeluarkan senjata jika tak sanggup untuk menggunakannya kerana adat berlawan senjata membunuh atau terbunuh. Cedera atau mencederakan.
4. Sentiasa anggap pihak lawan pakar dengan senjatanya. Jangan memandang rendah terhadap lawan.
5. Perlawanan senjata biasanya berakhir dengan pantas. Setiap gerak adalah penting.
6. Latihan di gelanggang biasanya menipu pesilat. Situasi sebenar sangat berbeza.
7. Jangan lawan dengan senjata yang anda tidak pernah berlatih menghadapinya. Jangan gunakan senjata yang anda tidak mahir.
8. Senjata yang terbaik ialah senjata yang ada di tangan bila anda memerlukanya. Rujuk artikel  4 Senjata Praktikal Zaman Ini


Video dari Silat Sufian dari Guru Maul



Monday 8 June 2015

Silat Tua 1: Gayong Fatani


Sejak zaman kejatuhan kerajaan Melayu di tangan barat bermula dari era kolonial Portugis sehingga British, pengaruh silat yang menjadi jati diri dan kepahlawanan orang Melayu dihakis dan cuba dilenyapkan. Orang Melayu tidak dibenarkan berkeris dan bersenjata. Namun guru-guru silat menyembunyikan silat sebagai aktiviti bersifat kebudayaan dan diswarisi sehigga hari ini. Ada silat yang pupus yang tidak diwariskan dan ada yang terselamat seperti Gayong Fatani.

Seni Silat Gayong Fatani merupakan antara silat-silat yang tertua di Tanah Melayu. Ia juga dikenali senagai Silat Tua. Sejarah Gayong Fatani dikatkan dengan sejarah kerajaan Melayu purba yang bertapak di Selatan Thai dan Utara Semenanjung Tanah Melayu yang memiliki sejarah yang panjang sejauh ketamadunan Langkasuka. I

Ulama-ulama yang berhijrah dari selatan Thailand dan mengajarkan ilmu silat di Semenanjung Tanah Melayu dan pada waktu itu ia dikenali dengan Silat Pattani sempena nama daerah Patttani di Thailand.

Silat ini dibawa dan diperkenkan di Kedah pada Tahun 1849 oleh Syeikh Abdul Rahman yang berasal dari wilayah Pattani. Seterusnya ia diturunkan kepada Pak Teh Ali dan disusun dalam sistem pembelajaran yang lengkap oleh  Tuan Haji Anuar pada 1965 (Guru Utama Persatuan Seni Silat Gayung Fatani)

Berikut ialah susunan rentetan peristiwa:

  • Diperkenalkan di Kedah pada 1840 oleh Syeikh Abdul Rahman
  • Diturunkan kepada Pak Teh Ali
  • Diturunkan kepada Pak Andak Embong
  • Diturunkan kepada Tuan Haji Anuar (tahun 1965)


Pada 14hb September 1976, silat ini dan didaftarkan sebagai pertubuhan rasmi dibawah Akta Pertubuhan,1966, PPP.S1886/28/76/(26) hasil usaha Tuan Haji Anuar bin Haji Abdul Wahab yang merupakan Guru Utama.

Gayong Fatani Austria
Saksikan video penerangan Gayong Fatani

Monday 25 May 2015

OneSilat Championship



OneSilat Championship adalah kejohanan silat yang dianjurkan oleh Malaysia yang dipertandingkan di peringkat global. Memandangkan silat telah tersebar di segenap dunia, OneSilat Championship cuba menganjurkan satu konsep perlawanan yang sesuai untuk semua jenis silat tanpa mengorbankan kesenian dan keaslian silat.

Jika dilihat pada kejohanan beladiri lain seperti UFC dan MMA yang bersifat terbuka. OneSilat tampil dengan satu kejohanan baru yang berkonsepkan silat dengan teknik dan undang-undang baru yang sejajar dengan teknik silat.

OneSilat mendapat kritikan hebat oleh peminat silat tempatan yang mempertikaikan persembahandan pemakaian dan menganggap OneSilat kehilangan seni dan budayanya

. Walaubagamanapun saya sangat optimis dan menyokong OneSilat dan langkah pembaharuan yag dijalankan bagi memperbolehkan Silat dipertandingkan di peringkat dunia.

Dijadualkan sebanya 5 acara dalam tahun 2015, nantikan kemunculannya.





Layan Lagu Tema




Rupa Sebenar Silat

Silat bukan buah demo di pentas. Silat bukan kekuda, bunga dan tari.

Apabila lawan di depan. Anda diancam. Jantung berdegup kencang, nafas tak keruan. Apa saja cara untuk tumpaskan keparat di depan. Berapa jenis tumbuk, tepis, elak, tangkis dan bentes. Semuanya dibuag ke longkang! Semuanya tak penting. Hanya gerak naluri semata-mata. Ha! Itulah silat.

Selama anda mengikuti pembelajaran silat. Dari asas tangkis sehingga menyambut pelbagai serangan dan menjatuhkan lawan. Berpuluh-puluh buah dipelajari dan bengkung bertukar warna. Akhirnya anda tamat pengajian. Pernahkan anda terfikir bagaimana keadaan sebenarnya jika anda bergaduh? Adakah seindah di dalam gelanggang?

Lihat senarai video ini bagaimana silat dipertontonkan dengan wajahnya sebenar.










Tarung Bebas Genggong


Merupakan gelanggang perlawanan silat yang diasaskan oleh Zainul Hasan Genggong dari sebuah sekolah pondok di Jawa Timur, Indenesia yang bernama Pesantren Zainul Hasan Genggong. Pertandingan ini disertai oleh murid-murid pesentren (sekolah agama).

Gelanggang ini menjadi isu kontraversi di Indonesia kerana sesetengah pihak berpendapat pertarungan ini terlalu ganas dan merbahaya. Sebahagiannya mendapat tentangan dari pihak kerajaan dan diarahkan tutup.

Peserta yang bertanding bebas untuk menggunakan apa sahaja gaya silat dan yang menariknya tidak menggunakan sebarang alat pelindung (body protector) seperti glove dan head protector. Di atas gelanggang setinggi 2 meter para pesilat beradu tenaga sehingga perlawanan diberhentikan oleh wasit (pengadil).

Peraturannya sangat ringkas. Pesilat tidak dibenarkan memakai cincin, azimat atau sebarang ilmu kebatinan. Wasit (pengadil) seramai 4 orang ditugaskan meleraikan pertarungan mengikut penilaian mereka. Setelah salah seorang jatuh pertarungan dihentikan dan wasit akan menentukan samaada perlawanan wajar diteruskan atau tidak.

Sunday 24 May 2015

4 Senjata Praktikal Zaman Ini

Pada zaman dahulu keris merupakan senjata yang melambangkan peradaban dan status sosial pemaikainya. Namun sekarang menjadi aneh jika melihat seseorang memakai keris di pinggang atau apa-apa senjata yang merbahaya. Anda akan dianggap sebagai orang gila dan mungkin ditahan polis.

"Senjata yang terbaik ialah senjata yang ada di tangan"

Bayangkan anda ada sebilah pedang samurai yang tajam yang boleh membelah seekor kambing dan anda mahir dalam ilmu pedang Jepun. Tetapi pada suatu malam anda diserang oleh perompak bersenjatakan kayu, pedang tersebut tiada di tangan anda dan anda dipukul dengan teruk. Dari peristiwa ini kita dapat memahami maksud pepatah "Senjata yang terbaik ialah senjata yang ada di tangan"

Matlamat artikel ini ialah menyenaraikan senjata yang praktikal dibawa dan disimpan. Yang palimg penting sekali mudah digunakan apabila diperlukan.

1. Kerambit

"Tajam kerambit tidak dapat dilihat tapi dirasa"
Kerambit merupakan senjata sulit yang merbahaya digunakan untuk pertarungan jarak dekat. Ia merupakan sebuah pisau berbentuk lengkung yang menyerupai kuku harimau. Ia mudah di sembunyikan di poket, dalam dompet dan tali pinggang. Permainannya pantas dan sasarannya pada titik maut badan dan pembuluh darah seperti leher, ketiak, perut dan belakang lutut.


2. Pisau

Terdapat pelbagai jenis pisau dan badik dari jenis lipat dan sarung. Permainan pisau hampir menyamai permainan keris, badik dan tumbuk lada. Pergerakan pisau terdiri dari tikaman dan libasan.


3. Kayu

Juga dikelani sebagai "tongkat". Ramai orang salah anggap menyangka permainan kayu tidak merbahaya kerana tidak tajam. Namun dengan kedah yang betul kayu boleh digunakan untuk membunuh. Ia mudah disimpan dalam bonet kereta atau di rumah.


4. Parang dan Golok

Selain digunakan untuk berkebun, parang merupakan senjata beladiri yang praktikal yang selalu disimpan di dalam rumah. Ia sesuai untuk pertarungan jarak sederhana dan jika dipegang secara terbalik digunakan untuk pertarungan jarak dekat.



Thursday 21 May 2015

Tapak Silat

Kekuda merupakan asas kepada struktur kedudukan badan pesilat. Ia diibaratkan sebagai tiang kepada sesebuah rumah, jika teguh tiang maka teguhlah rumah dan begitu juga sebaliknya. Dikatakan dengan melihat kekuda sudah tahu pesilat tersebut seorang yang mahir ataupun tidak. Kekuda perlu diperkukuhkan supaya gerak silat tidak pincang dan pergerakan boleh dilakukan dengan sempurna.

Sikap Pasang atau Tapak Menanti ialah kedudukan kekuda dimana pesilat dalam keadaan bersedia menghadapi lawannya. Ia memilki banyak variasi bergantung kepada ilmu pesilat dan situasi yang dihadapinya. walaupun terdapat perbezaan kekuda antara satu silat dan silat yang lainnya, secara amnya kekuda (tapak) silat terbahagi kepada 7 jenis.

1. Tapak Selari


2. Tapak Sendeng


3. Tapak Serong


4. Tapak Jinjit


5. Tapak Gantung


6. Tapak Anak Harimau


7. Tapak Alif

Saksikan video dari pesilat Indonesia. Istilah Sikap Pasang yang digunakan berbeza dengan silat di Tanah Melayu.



Saturday 16 May 2015

Jurus Silat



Jurus silat merupakan salah satu elemen penting dalam silat Melayu juga dikenali sebagai Belebat.

Ia  merupakan pergerakan pantas yang berulang-ulang bertujuan untuk membiasakan gerak. Tujuannya agar pesilat terbiasa degan gerak-gerak jurus itu lantas tersimpan didalam nalurinya dan hasilnya gerak itu dapat dilaksanakan pada situasi pertarungan sebenar. Contohnya pesilat melangkah sambil tangan kiri menepis dan tangan kanan menumbuk dalam satu gerak ringkas.

Secara amnya gerakan Jurus menyamai tujuan gerakan Bunga yang juga diamalkan untuk membiasakan gerak tetapi Bunga bersifat perlahan, gerak tari yang lembut dan berseni manakala Jurus pula bersifat kasar, pantas dan lebih bertenaga. Pesilat membayangkan seolah-olah lawan di hadapannya dan melaksanakan jurus dengan penuh bertenaga dalam gerakan bayang.

Latihan Jurus boleh dilakukan dengan bersenjata atau tidak. Kemantapan serangan atau pertahanan  seperti menumbuk, menendang, mengelak, menepis dan melompat seperti dalam keadaan pertarungan sebenar.

Terdapat sesetengah silat yang tidak menggunakan Bunga sebagai asas geraknya sebaliknya menggunakan Jurus contohnya silat Cekak. Jurus bertujuan menyimpan kunci utama (essance) setiap pergerakan dalam silat tersebut

"Maka Ia pun menyembah pula lalu menghunus keris panjangnya, Maka Laksamana pun bermain keris panjangnya dua tiga lompat dirasainya tubuhnya tiada seperti dahulu" (Hikayat Hang Tuah 1971:310)

Dalam petikan Tadi Jelas Hang Tuah kehilangan kecerdasannya setelah menguji dengan gerakan Jurus ringkas. Kemudian beliau mematapkan dirinya dengan berlatih jurus dan berurut dalam petikan seterusnya.

"Maka Laksamana (Hang Tuah) pun berurut lima hari lima malam. Setelah sudah maka Laksamana pun bermainlah keris panjang dan bermain perisai, terlalu hebat rupanya.." (Hikayat Hang Tuah 1971:310)

Petikan dari Hikayat Hang Tuah tersebut menunjukkan Hang Tuah telah berlatih Jurus atau Belebat dan  beliau telah bersedia menghadapi Hang Jebat.

Friday 15 May 2015

Buah Tak Menjadi?


"Aku dah 5 tahun bersilat, tapi bila bergaduh jadi koboi jugak. Buah silat hilang entah kemana" Kata pesilat wakil sekolah kepada rakan seperguruannya. Beliau sudah lengkap pengajiannya sehingga ke bengkung hitam dan menyandang beberapa pingat persembahan silat namun masih gagal mempraktikkan silat dalam situasi sebenar.

Di mana silapnya sehinggakan Silat Melayu yang digeruni kehilangan taringnya bila berhadapan dengan situasi kecemasan sebenar? Silat hanya menjadi persembahan di gelanggang dan buah-buah silat hanya nampak gah apabila dipraktis bila berdemo bersama rakan-rakan seperguruan. Apabila berlawan hilang silatnya. Dimana silapnya?

Sistem pembelajaran silat sekarang telah jauh dari keasliannya. Kalau zaman dahulu anak murid apabila balik dari mengaji silat, badan mereka lebam-lebam dan calar balar menjadi perkara biasa. Sekarang ibu bapa takut anak-anak mereka cedera. Ilmu silat sekarang telah "dilembutkan" sesuai dengan kondisi remaja zaman sekarang yang kurang daya tahan lasaknya. Dan akhirnya pengajian silat telah disunting dan hanya bersifat kesenian dan persembahan semata-mata, asal lengkap bengkung dikira hebat. Akhirnya Pencak Silat itu diperlekehkan kerana jika dibandingkan dengan seni beladiri import yang jauh lebih efektif seperti Tomoy, karate dan Teakwondo.

"Alah, buat apa belajar silat, pandai berbunga-bunga ja. Bukan boleh berlawan pun" selalu kita dengar ungkapan ini dan ada juga kebenarannya.


Kesilapan Jurulatih

Silat diperkenalkan di sekolah-sekolah dan IPT sebagai kegiatan aktiviti kokurikulum dan kelab sukan. Sistem pembelajaran silat telah diubah suai sejajar dengan permintaan sekolah-sekolah yang inginkan kokurikulum yang sihat dan tidak terlalu lasak sehingga mencederakan murid-murid. Murid dilatih dengan lembut hanya sekadar menguasai asas seni dan peralihan bengkung untuk melengkapkan silibus pembelajarannya.

Kesimpulannya silat kehilangan asas kesempurnaannya dalam aspek beladiri. Dalam keadaan pergaduhan atau situasi kecemasan ilmu silat gagal dilaksanakan. Silibus pembelajaran silat tidak menekankan aspek sebenar seperti sparring dan jurus. Latihan lebih ditekankan kepada hafalan buah silat.


Membuka Minda Terhadap Kemungkinan Serangan Pelbagai Bentuk.

Pernahkah anda terfikir jika anda diserang oleh ahli beladiri lain seperti Tomoi contohnya. Mampukah anda menahan tumbukan, siku dan sepakan mereka. Pernahkan anda belajar sambut sepakan Round Kick ke leher? Pernahkah anda terima tumbukan Jab dari Peninju?

Jika anda berlatih sesama perguruan, anda akan belajar kaedah menyerang dan menyambut serangan yang sama. Jarang sekali anda belajar terima serangan yang berbeza. Contohnya pesilat belajar tumbuk kaedah A kemudian belajar pula tangkis tumbuk kaedah A. Jika pihak lawan tumbuk keadaan B, C atau D yang berbeza, Ha! bagaimana nak sambut?


Biasakan Sparring dengan ahli Beladiri Lain

Berlatih dengan ahli beladiri lain membantu anda membiasakan diri dengan kepelbagaian serangan. Dengan cara ini anda mampu kembangkan kaedah berhadapan dengan pelbagai kemungkinan serangan dari pelbagai jenis seni beladiri. Terdapat beberapa silat yang mengembangkan kaedah ini dan menyertai pertandingan seni beladiri terbuka seperti MMA, Kickboxing dan UFC.

Jangan rasa rendah diri dengan kekuatan silat berhadapan dengan seni beladiri lain. Silat telah dibuktikan sebagai seni beladiri yang praktikal dan berkembang dengan pesat di Eropah sekarang. Pesilat berbangsa eropah giat mengembangkan silat sejajar dengan kepelbagaian seni beladiri. Buah-buah silat digunakan oleh unit-unit pertahanan awam di rantau itu. Sedangkan silat di tanah air ini menjadi jumud, pegun dan mundur tidak dikembangkan. Yakinlah silat boleh berhadapan dengan Boxing, Tomoy, Taekwondo, MMA, Karate, Judo dan sebagainya anda hanya perlu membuka minda dan menerima perubahan ini.


Lupakan Buah-Buah Mengarut Itu

Banyak buah-buah silat hanya hebat dipandang apabila ia dipersembahkan melalui demo di atas pentas.

Dalam latihan buah silat, anak murid disuruh berlatih secara berpasangan. Apabila menyerang, jurulatih ajar supaya salah seorang menyerang dengan satu TUMBUKAN KAKU, dan seorang lagi sambut dengan buah silat dan dijatuhkan dengan mudahnya. Penumbuk tidak boleh ditarik atau diperbagaikan jika tidak buah gagal dilaksanakan. Yang lucunya, adakah dalam situasi sebenar pihak lawan akan menumbuk dengan begitu kaku dan menunggu untuk dijatuhkan?


Naluri Semata-Mata

Cuba kita lihat kucing bergaduh. Gerak mereka diasaskan oleh naluri semata-mata. Begitulah gerak silat yang sebati dengan gerak naluri (instict) manusia. Bukannya buah yang disusun-susun dengan kakunya. Tumbukan, tepisan sepakan dilakukan dengan spontan tanpa tergak-agak. Asal boleh masuk kita masuk,.asal boleh makan, kita makan.

Dengan latihan Bunga dan Belebat atau Jurus pesilat dapat melatih naluri supaya dalam situasi sebenar silat akan terbentuk dengan sendirinya kerana pesilat telah sebati denga silatnya. Seperti sebuah pepatah silat:  "Pakai takpakai, takpakai pakai. Selagi pakai, selagi itulah tak pakai"


Saya sertakan video perlawanan MMA (Mix Martial Art) antara Silat  lawan Wing Chun


Contoh pergaduhan jalanan



Thursday 7 May 2015

Mengapa Kekuda Silat Rendah?

Pernahkah anda terfikir mengapa kebanyakan silat menggunakan kekuda yang rendah? Adakah dalam situasi pertarungan sebenar kekuda ini praktikal digunakan? Tahukah anda kekuda silat sesuai digunakan untuk pertarungan senjata?



Ilmu Silat merupakan ilmu peperangan orang Melayu yang digunakan untuk mempertahankan kerajaan pada satu masa dahulu. Hampir setiap lelaki dewasa memiliki senjata sekurang-kurangnya keris atau parang yang tersisip di pinggang. Jadi pertarungan senjata menjadi lazim pada zaman itu. Tidaklah dianggap sebagai anak lelaki jika tidak tahu bersilat, apatah lagi menggunakan senjata.

Dengan merendahkan badan, pesilat dapat melindungi kawasan tengah dan atas dari serangan senjata (dada, perut, leher dan kepala). Kawalan tapak menjadi lebih kukuh jika berlaku pergelutan kerana pusat graviti yang rendah. Dengan kekuda ini pesilat mampu memberikan kuasa pada tikaman dan pukulan. 

Pergerakan terjahan dan lompatan menjadi pantas dan lincah ditambah pula dengan tangan pesilat dalam keadaan bersedia melindungi zon tengah badan. Dengan kedudukan badan yang rendah, pesilat mampu bergerak ke semua arah dengan kemas bagi mengelak serangan dari pelbagai arah.

Kelebihan Kekuda Silat

  • Badan direndahkan dan tangan melidungi paras dada (kawasan serangan senjata)
  • Sesuai untuk pertarungan senjata dan tangan kosong
  • Manyambut serangan dan menyerang dari pelbagai arah (depan, belakang, kiri dan kanan)
  • Tapak yang mudah untuk bergerak ke semua arah
  • Pergerakan langkah dan lompatan menjadi jauh untuk mengelak dan menyerang.


Perbezaan Dengan Kekuda Tomoi

Dewasa ini kita pesilat-pesilat muda sering dikelirukan dengan kelebihan yang dipamerkan oleh seni beladiri dari luar seperti Tomoi, Taekwondo dan Karate yang menggunakan "Kekuda Gelanggang". Tidak dinafikan kekuda seperti Tomoi memiliki kelebihan dari segi perlawanan "satu lawan satu" dan perlawanan dalam gelanggang, tetapi untuk pertarungan melibatkan lawan yang lebih dari seorang atau melibatkan senjata, nyata kekuda ini memiliki kekurangannya sendiri.
  • Sesuai untuk perlawanan gelanggang tanpa senjata
  • Untuk menghadapi lawan dari arah depan sahaja
  • Pergerakan jarak dekat yang pantas
  • Tangan melindungi bahagian kepala
  • Sesuai untuk melancarkan tumbukan dan sepakan dengan pantas


Perhatikan filem Hang Tuah lakonan P. Ramlee dan Ahmad Mahmood. Bagaimana kekuda digunakan secara efektif dalam permainan senjata. Kaedah kekuda digunakan untuk menyambut tikaman keris dan mengelak dengan pantas kemas.


Download

Apa Itu Kekuda?

Kekuda dianggap sebagai kedudukan bersedia bagi pesilat bagi menghadapi serangan lawan. Terdapat banyak silat di serata Nusantaran dan setiap silat memiliki identiti kekudanya sendiri. Secara amnya keduda silat dibahagi kepada 4 kategori:
1. Berdiri tegak
2. Kekuda tinggi
3. Kekuda sederhana
4. Kekuda rendah.

Monday 27 April 2015

Asal Usul Silat

Gerak silat asalnya Ilham
Lalu disimpan di dalam Bunga
Dari bunga terbitnya Buah
 
Perkataan Silat bermaksud seni beladiri yang membawa maksud ilmu pergerakan mempertahankan diri yang melibatkan permainan senjata atau tangan kosong. Silat memiliki maksud yang sama dengan Wushu yang bermaksud ilmu berlawan. Perkataan Silat sinonim dengan seni beladiri dari Nusantara yang meliputi Malaysia, Indonesia, Thailand, Borneo dan keseluruhan negara-negara Asia Tenggara. Menurut Kamus Dewan, tipu muslihat disebut sebagai elak, mengikut loghat utara Tanah Melayu disebut elat. Terdapat teori mengatakan perkataan Silat bersal dari  si-ilat (orang yang pandai muslihat)



Asal usul Silat sukar dijejaki dan dipercayai berusia ribuan tahun. Ia digunakan sebagai sistem pertahanan bagi kerajaan Langkasuka, Champa, Srivijaya, Beruas, Melaka, Makasar, Aceh, Majapahit, Gangga, Pattani dan kerajaan-kerajaan lain di Asia Tenggara. Silat tidak boleh dituntut sebagai hakmilik warisan sesebuah negara kerana sejarahnya meliputi keseluruhan Nusantara.

Menurut bukti tinggalan sejarah  yang terdapat di Chandi Borobudur dan Candi Prambanan di Jawa, dapatlah disimpulkan bahawa sudah wujud seni mempertahankan diri ini di kawasan kepulauan Melayu pada abad ke-8 Masihi.


Gerak Silat (ilham)

Manusia diberikan naluri untuk mempertahankan diri dan menyelamatkan diri dari bahaya, gerakan ini berdasarkan naluri yang sukar dijelaskan dan bukannya gerakan sebarangan.  Ilham ini datang dalam pelbagai cara seperti mimpi, sumber dari pertapaan dan pemerhatian terhadap gerak binatang. Suber ilham hakikatnya ini datang dari Pemberi Ilham (Rujuk Sifat 20). Ianya dizahirkan dengan pergerakan seni yang dinamakan Bunga. Gerakan ini memiliki pelbagai maksud tersirat dan dari asas gerak ini munculnya gerakan menepis, gerakan tapak, tumbukan, mengunci, menjatuhkan lawan, melangkah dan sebagainya. Gerak abstrak ini dipercayai menyimpan pelbagai gerak rahsia dan beribu buah.


Bunga Silat

Maka titah Seri Bentara, "Menari apalah Kiai Tuah. Inginlah kita hendak melihatmu menari." Maka sembah Tun Tuah, "Daulat tuanku andika, ini menari cara hulubalanglah."
(Hikayat Hang Tuah, 1971:126)

Melalui petikan Hikayat Hang Tuah tadi dapatlah disimpulkan bahawa gerakan silat bukanlah tari-menari semata-mata dan mengandungi rahsia tersembuyi.

Secara asasnya susunan pembelajaran silat dipecahkan kepada dua bahagian iaitu Bunga dan Buah.
Bunga merupakan gerak asas dalam silat. Gerak ini kemudiannya disusun dan membentuk buah silat. Terdapat salah faham yang menganggap bunga ialah tari menari yang bertujuan persembahan semata-mata. Ada juga pesilat yang menghafal bunga dan tidak tahu rahsia yang terkandung di dalamnya. Mereka buta sejarah dan tidak memahani apa itu Bunga Silat sebenarnya. Gerak Bunga diilhamkan kepada pengasas silat dan disusun menjadi tunggak utama persilatan tersebut. Contohnya Gayong Fatani  berasaskan Bunga Sembah

Bunga dikatakan sebagai pengenalan sesebuah silat, dan dipanggil Bunga Sembah. Adakalanya bunga dimainkan pada majlis keraian seperti perkahwinan dan hari-hari kebesaran. Ia merupakan identiti (signature) kepada sesebuah persilatan. Dengan melihat bungaya kita boleh mengenali apa jenis silatnya. Ia penting bagi mengelakkan pesilat dari terlibat dalam pergaduhan sesama peguruannya sendiri.

Bangsa Melayu tinggi adabnya walaupun ketika berlawan, adakalanya bunga dimainkan ketika pertarungan untuk menunjukkan pesilat menghormati pertarungan. Tidak seperti zaman sekarang orang mencarut dan memaki hamun ketika bergaduh. Bangsa Melayu menyanjung tinggi adab dan budi bahasanya. Dalam sopan orang Melayu ada kerasnya. Seperti bunga silat, indah lembut berseni geraknya tersimpan gerakan rahsia yang membunuh.

Bunga dimainkan oleh pesilat dalam waktu latihan walaupun secara berseorangan. Ia diamalkan berulang kali bertujuan membiasakan diri dengan gerak silatnya. Jika berlaku situasi kecemasan, secara automatik gerak silatnya akan terbentuk dengan sendirinya. Pesilat mengingati gerakannya walau tanpa perlu menghafal buah. Ia juga menguatkan sistem badan, menguatkan sistem pernafasan dan sebagai senaman (seperti senaman Taichi)
  • Bunga silat ialah senaman
  • Sempurna bunganya sempurnalah silatnya

Jurus  Atau Belebat

Jurus juga dikenali sebagai Belebat. Ia  merupakan pergerakan pantas yang berulang-ulang bertujuan untuk membiasakan gerak. Tujuannya agar pesilat terbiasa degan gerak-gerak jurus itu lantas tersimpan didalam nalurinya dan hasilnya gerak itu dapat dilaksanakan pada situasi pertarungan sebenar. Contohnya pesilat melangkah sambil tangan kiri menepis dan tangan kanan menumbuk dalam satu gerak ringkas. Berbanding Bunga, gerakan Jurus lebih kasar pantas dan bertenaga. Ia boleh dilakukan dengan senjata atau tangan kosong.

Gerakan jurus merupakan latihan yang berulang-ulang yang dilakukan supaya pesilat sebati dengan gerakan menyerang atau bertahan agar dalam situasi sebenar naluri pesilat telah terlatih dan membentuk gerakan yang efektif.

Buah Silat

Buah Silat adalah gabungan gerakan yang diasaskan oleh Bunga (gerak asas silat). Juga dikenali sebagai Buah Pukul. Ia ialah aturan langkah menyambut serangan sehingga pihak lawan ditumpaskan dalam satu aturan gerakan.

Contohnya:
1. Pesilat menunggu serangan, menyambut (menepis, membuang, menangkap atau mengelak)
2. Memukul dan menjatuhkan pihak lawan
3. Memberikan pukulan penutup (memukul, mengunci atau mematahkan sendi)
 Keseluruhan aturan ini dianggap sebagai satu buah yang lengkap. Setiap buah boleh dihabiskan dengan penutup yang berbeza contohnya pesilat boleh memilih mengunci lawannya, mencederakan, melumpuh atau bunuh berdasarkan pilihannya (finishing move).

Buah silat dikumpulkan oleh pengasas-pengasas silat dan diberikan nama. Kemudian disusun dalam sistem pembelajaran mengikut peringkat. Anak murid dikehendaki menghafal kesemua buah ini berdasarkan peringkat.yang akan diuji dan dibezakan dengan jenis bengkung sehinggalah tamat pengajian. Sistem pembelajaran ini diulang oleh guru-guru silat dalam setiap gelanggang yang dibuka.


Kesimpulan

Silat melayu sejarahnya panjang dengan pelbagai bentuk dan gaya. Keasliannya dan geraknya diabadikan dengan dipelajari dan diwariskan secara turun-temurun. Ia merupakan identiti kepada masyarakat Melayu dan hanya boleh disimpan dengan mempelajari dan diamalkan. Jika tidak ia akan pupus dan hanya dikenali melalui tulisan dan gambar sahaja.

Friday 24 April 2015

Pengenalan Asal Silat

Assalamualaikum kepada saudara para penggemar silat semua.



Blog Asal Silat ditubuhkan bertujuan mengkaji Silat Melayu dari asal usulnya dan mencari kaedah praktikal dalam situasi sebenar jika nyawa diancam atau jika kita diserang.

Blog ini membuka sempadan Gaya Silat (tidak kira apa pun jenis silat yang anda pelajari) dengan memberikan pandangan terbuka tentang kaedah mana yang lebih sesuai digunakan untuk menghadapi pihak lawan dalam situasi sebenar bukan sekadar nampak gah hanya di dalam gelanggang.

Blog ini juga agak kritikal terhadap pemikiran jumud (pemikiran tertutup) terhadap satu-satu pertubuhan silat. Dan tidak ingin berkembang dan menerima pendapat di luar ideologi silat mereka. Apa sahaja teknik yang berkesan boleh dipraktikkan walau di luar teknik persilatan yang dipelajari.

Terdapat banyak silat dari pelbagai asal usul di Tanah Melayu dan keseluruhan Asia Tenggara ini. Masing-masing mendakwa silat mereka yang terbaik dan mutlak. Tetapi hakikatnya banyak buah-buah yang tidak praktikal digunakan. Banyak silibus pembelajaran yang sia-sia dan terlalu panjang. Banyak buah ilusi yang tidak boleh digunakan langsung dalam situasi sebenar. Silat mereka hanya sekadar demo di pentas yang memukau penonton tetapi hanya indah dipandang. Silat hanya menjadi ILMU PERSEMBAHAN. Dan akhirnya pengikut silat tersebut terlalu taksub dengan gaya tersebut dan tidak berjaya mengembangkan ilmu yang dipelajarinya.

Persoalan yang ingin dijawab dalam blog ini:

1. Apa asal usul Silat Melayu
2. Bagaimana saya boleh gunakan Silat dengan praktikal?
3. Bagaimana saya boleh mengembangkan lagi ilmu silat saya?
4. Bagaimana saya boleh menghadapi lawan dari seni beladiri yang lain?
5. Bagaimana jika saya diserang, betul ke Silat saya berguna?