Thursday, 21 May 2015

Tapak Silat

Kekuda merupakan asas kepada struktur kedudukan badan pesilat. Ia diibaratkan sebagai tiang kepada sesebuah rumah, jika teguh tiang maka teguhlah rumah dan begitu juga sebaliknya. Dikatakan dengan melihat kekuda sudah tahu pesilat tersebut seorang yang mahir ataupun tidak. Kekuda perlu diperkukuhkan supaya gerak silat tidak pincang dan pergerakan boleh dilakukan dengan sempurna.

Sikap Pasang atau Tapak Menanti ialah kedudukan kekuda dimana pesilat dalam keadaan bersedia menghadapi lawannya. Ia memilki banyak variasi bergantung kepada ilmu pesilat dan situasi yang dihadapinya. walaupun terdapat perbezaan kekuda antara satu silat dan silat yang lainnya, secara amnya kekuda (tapak) silat terbahagi kepada 7 jenis.

1. Tapak Selari


2. Tapak Sendeng


3. Tapak Serong


4. Tapak Jinjit


5. Tapak Gantung


6. Tapak Anak Harimau


7. Tapak Alif

Saksikan video dari pesilat Indonesia. Istilah Sikap Pasang yang digunakan berbeza dengan silat di Tanah Melayu.



Saturday, 16 May 2015

Jurus Silat



Jurus silat merupakan salah satu elemen penting dalam silat Melayu juga dikenali sebagai Belebat.

Ia  merupakan pergerakan pantas yang berulang-ulang bertujuan untuk membiasakan gerak. Tujuannya agar pesilat terbiasa degan gerak-gerak jurus itu lantas tersimpan didalam nalurinya dan hasilnya gerak itu dapat dilaksanakan pada situasi pertarungan sebenar. Contohnya pesilat melangkah sambil tangan kiri menepis dan tangan kanan menumbuk dalam satu gerak ringkas.

Secara amnya gerakan Jurus menyamai tujuan gerakan Bunga yang juga diamalkan untuk membiasakan gerak tetapi Bunga bersifat perlahan, gerak tari yang lembut dan berseni manakala Jurus pula bersifat kasar, pantas dan lebih bertenaga. Pesilat membayangkan seolah-olah lawan di hadapannya dan melaksanakan jurus dengan penuh bertenaga dalam gerakan bayang.

Latihan Jurus boleh dilakukan dengan bersenjata atau tidak. Kemantapan serangan atau pertahanan  seperti menumbuk, menendang, mengelak, menepis dan melompat seperti dalam keadaan pertarungan sebenar.

Terdapat sesetengah silat yang tidak menggunakan Bunga sebagai asas geraknya sebaliknya menggunakan Jurus contohnya silat Cekak. Jurus bertujuan menyimpan kunci utama (essance) setiap pergerakan dalam silat tersebut

"Maka Ia pun menyembah pula lalu menghunus keris panjangnya, Maka Laksamana pun bermain keris panjangnya dua tiga lompat dirasainya tubuhnya tiada seperti dahulu" (Hikayat Hang Tuah 1971:310)

Dalam petikan Tadi Jelas Hang Tuah kehilangan kecerdasannya setelah menguji dengan gerakan Jurus ringkas. Kemudian beliau mematapkan dirinya dengan berlatih jurus dan berurut dalam petikan seterusnya.

"Maka Laksamana (Hang Tuah) pun berurut lima hari lima malam. Setelah sudah maka Laksamana pun bermainlah keris panjang dan bermain perisai, terlalu hebat rupanya.." (Hikayat Hang Tuah 1971:310)

Petikan dari Hikayat Hang Tuah tersebut menunjukkan Hang Tuah telah berlatih Jurus atau Belebat dan  beliau telah bersedia menghadapi Hang Jebat.

Friday, 15 May 2015

Buah Tak Menjadi?


"Aku dah 5 tahun bersilat, tapi bila bergaduh jadi koboi jugak. Buah silat hilang entah kemana" Kata pesilat wakil sekolah kepada rakan seperguruannya. Beliau sudah lengkap pengajiannya sehingga ke bengkung hitam dan menyandang beberapa pingat persembahan silat namun masih gagal mempraktikkan silat dalam situasi sebenar.

Di mana silapnya sehinggakan Silat Melayu yang digeruni kehilangan taringnya bila berhadapan dengan situasi kecemasan sebenar? Silat hanya menjadi persembahan di gelanggang dan buah-buah silat hanya nampak gah apabila dipraktis bila berdemo bersama rakan-rakan seperguruan. Apabila berlawan hilang silatnya. Dimana silapnya?

Sistem pembelajaran silat sekarang telah jauh dari keasliannya. Kalau zaman dahulu anak murid apabila balik dari mengaji silat, badan mereka lebam-lebam dan calar balar menjadi perkara biasa. Sekarang ibu bapa takut anak-anak mereka cedera. Ilmu silat sekarang telah "dilembutkan" sesuai dengan kondisi remaja zaman sekarang yang kurang daya tahan lasaknya. Dan akhirnya pengajian silat telah disunting dan hanya bersifat kesenian dan persembahan semata-mata, asal lengkap bengkung dikira hebat. Akhirnya Pencak Silat itu diperlekehkan kerana jika dibandingkan dengan seni beladiri import yang jauh lebih efektif seperti Tomoy, karate dan Teakwondo.

"Alah, buat apa belajar silat, pandai berbunga-bunga ja. Bukan boleh berlawan pun" selalu kita dengar ungkapan ini dan ada juga kebenarannya.


Kesilapan Jurulatih

Silat diperkenalkan di sekolah-sekolah dan IPT sebagai kegiatan aktiviti kokurikulum dan kelab sukan. Sistem pembelajaran silat telah diubah suai sejajar dengan permintaan sekolah-sekolah yang inginkan kokurikulum yang sihat dan tidak terlalu lasak sehingga mencederakan murid-murid. Murid dilatih dengan lembut hanya sekadar menguasai asas seni dan peralihan bengkung untuk melengkapkan silibus pembelajarannya.

Kesimpulannya silat kehilangan asas kesempurnaannya dalam aspek beladiri. Dalam keadaan pergaduhan atau situasi kecemasan ilmu silat gagal dilaksanakan. Silibus pembelajaran silat tidak menekankan aspek sebenar seperti sparring dan jurus. Latihan lebih ditekankan kepada hafalan buah silat.


Membuka Minda Terhadap Kemungkinan Serangan Pelbagai Bentuk.

Pernahkah anda terfikir jika anda diserang oleh ahli beladiri lain seperti Tomoi contohnya. Mampukah anda menahan tumbukan, siku dan sepakan mereka. Pernahkan anda belajar sambut sepakan Round Kick ke leher? Pernahkah anda terima tumbukan Jab dari Peninju?

Jika anda berlatih sesama perguruan, anda akan belajar kaedah menyerang dan menyambut serangan yang sama. Jarang sekali anda belajar terima serangan yang berbeza. Contohnya pesilat belajar tumbuk kaedah A kemudian belajar pula tangkis tumbuk kaedah A. Jika pihak lawan tumbuk keadaan B, C atau D yang berbeza, Ha! bagaimana nak sambut?


Biasakan Sparring dengan ahli Beladiri Lain

Berlatih dengan ahli beladiri lain membantu anda membiasakan diri dengan kepelbagaian serangan. Dengan cara ini anda mampu kembangkan kaedah berhadapan dengan pelbagai kemungkinan serangan dari pelbagai jenis seni beladiri. Terdapat beberapa silat yang mengembangkan kaedah ini dan menyertai pertandingan seni beladiri terbuka seperti MMA, Kickboxing dan UFC.

Jangan rasa rendah diri dengan kekuatan silat berhadapan dengan seni beladiri lain. Silat telah dibuktikan sebagai seni beladiri yang praktikal dan berkembang dengan pesat di Eropah sekarang. Pesilat berbangsa eropah giat mengembangkan silat sejajar dengan kepelbagaian seni beladiri. Buah-buah silat digunakan oleh unit-unit pertahanan awam di rantau itu. Sedangkan silat di tanah air ini menjadi jumud, pegun dan mundur tidak dikembangkan. Yakinlah silat boleh berhadapan dengan Boxing, Tomoy, Taekwondo, MMA, Karate, Judo dan sebagainya anda hanya perlu membuka minda dan menerima perubahan ini.


Lupakan Buah-Buah Mengarut Itu

Banyak buah-buah silat hanya hebat dipandang apabila ia dipersembahkan melalui demo di atas pentas.

Dalam latihan buah silat, anak murid disuruh berlatih secara berpasangan. Apabila menyerang, jurulatih ajar supaya salah seorang menyerang dengan satu TUMBUKAN KAKU, dan seorang lagi sambut dengan buah silat dan dijatuhkan dengan mudahnya. Penumbuk tidak boleh ditarik atau diperbagaikan jika tidak buah gagal dilaksanakan. Yang lucunya, adakah dalam situasi sebenar pihak lawan akan menumbuk dengan begitu kaku dan menunggu untuk dijatuhkan?


Naluri Semata-Mata

Cuba kita lihat kucing bergaduh. Gerak mereka diasaskan oleh naluri semata-mata. Begitulah gerak silat yang sebati dengan gerak naluri (instict) manusia. Bukannya buah yang disusun-susun dengan kakunya. Tumbukan, tepisan sepakan dilakukan dengan spontan tanpa tergak-agak. Asal boleh masuk kita masuk,.asal boleh makan, kita makan.

Dengan latihan Bunga dan Belebat atau Jurus pesilat dapat melatih naluri supaya dalam situasi sebenar silat akan terbentuk dengan sendirinya kerana pesilat telah sebati denga silatnya. Seperti sebuah pepatah silat:  "Pakai takpakai, takpakai pakai. Selagi pakai, selagi itulah tak pakai"


Saya sertakan video perlawanan MMA (Mix Martial Art) antara Silat  lawan Wing Chun


Contoh pergaduhan jalanan



Thursday, 7 May 2015

Mengapa Kekuda Silat Rendah?

Pernahkah anda terfikir mengapa kebanyakan silat menggunakan kekuda yang rendah? Adakah dalam situasi pertarungan sebenar kekuda ini praktikal digunakan? Tahukah anda kekuda silat sesuai digunakan untuk pertarungan senjata?



Ilmu Silat merupakan ilmu peperangan orang Melayu yang digunakan untuk mempertahankan kerajaan pada satu masa dahulu. Hampir setiap lelaki dewasa memiliki senjata sekurang-kurangnya keris atau parang yang tersisip di pinggang. Jadi pertarungan senjata menjadi lazim pada zaman itu. Tidaklah dianggap sebagai anak lelaki jika tidak tahu bersilat, apatah lagi menggunakan senjata.

Dengan merendahkan badan, pesilat dapat melindungi kawasan tengah dan atas dari serangan senjata (dada, perut, leher dan kepala). Kawalan tapak menjadi lebih kukuh jika berlaku pergelutan kerana pusat graviti yang rendah. Dengan kekuda ini pesilat mampu memberikan kuasa pada tikaman dan pukulan. 

Pergerakan terjahan dan lompatan menjadi pantas dan lincah ditambah pula dengan tangan pesilat dalam keadaan bersedia melindungi zon tengah badan. Dengan kedudukan badan yang rendah, pesilat mampu bergerak ke semua arah dengan kemas bagi mengelak serangan dari pelbagai arah.

Kelebihan Kekuda Silat

  • Badan direndahkan dan tangan melidungi paras dada (kawasan serangan senjata)
  • Sesuai untuk pertarungan senjata dan tangan kosong
  • Manyambut serangan dan menyerang dari pelbagai arah (depan, belakang, kiri dan kanan)
  • Tapak yang mudah untuk bergerak ke semua arah
  • Pergerakan langkah dan lompatan menjadi jauh untuk mengelak dan menyerang.


Perbezaan Dengan Kekuda Tomoi

Dewasa ini kita pesilat-pesilat muda sering dikelirukan dengan kelebihan yang dipamerkan oleh seni beladiri dari luar seperti Tomoi, Taekwondo dan Karate yang menggunakan "Kekuda Gelanggang". Tidak dinafikan kekuda seperti Tomoi memiliki kelebihan dari segi perlawanan "satu lawan satu" dan perlawanan dalam gelanggang, tetapi untuk pertarungan melibatkan lawan yang lebih dari seorang atau melibatkan senjata, nyata kekuda ini memiliki kekurangannya sendiri.
  • Sesuai untuk perlawanan gelanggang tanpa senjata
  • Untuk menghadapi lawan dari arah depan sahaja
  • Pergerakan jarak dekat yang pantas
  • Tangan melindungi bahagian kepala
  • Sesuai untuk melancarkan tumbukan dan sepakan dengan pantas


Perhatikan filem Hang Tuah lakonan P. Ramlee dan Ahmad Mahmood. Bagaimana kekuda digunakan secara efektif dalam permainan senjata. Kaedah kekuda digunakan untuk menyambut tikaman keris dan mengelak dengan pantas kemas.


Download

Apa Itu Kekuda?

Kekuda dianggap sebagai kedudukan bersedia bagi pesilat bagi menghadapi serangan lawan. Terdapat banyak silat di serata Nusantaran dan setiap silat memiliki identiti kekudanya sendiri. Secara amnya keduda silat dibahagi kepada 4 kategori:
1. Berdiri tegak
2. Kekuda tinggi
3. Kekuda sederhana
4. Kekuda rendah.

Monday, 27 April 2015

Asal Usul Silat

Gerak silat asalnya Ilham
Lalu disimpan di dalam Bunga
Dari bunga terbitnya Buah
 
Perkataan Silat bermaksud seni beladiri yang membawa maksud ilmu pergerakan mempertahankan diri yang melibatkan permainan senjata atau tangan kosong. Silat memiliki maksud yang sama dengan Wushu yang bermaksud ilmu berlawan. Perkataan Silat sinonim dengan seni beladiri dari Nusantara yang meliputi Malaysia, Indonesia, Thailand, Borneo dan keseluruhan negara-negara Asia Tenggara. Menurut Kamus Dewan, tipu muslihat disebut sebagai elak, mengikut loghat utara Tanah Melayu disebut elat. Terdapat teori mengatakan perkataan Silat bersal dari  si-ilat (orang yang pandai muslihat)



Asal usul Silat sukar dijejaki dan dipercayai berusia ribuan tahun. Ia digunakan sebagai sistem pertahanan bagi kerajaan Langkasuka, Champa, Srivijaya, Beruas, Melaka, Makasar, Aceh, Majapahit, Gangga, Pattani dan kerajaan-kerajaan lain di Asia Tenggara. Silat tidak boleh dituntut sebagai hakmilik warisan sesebuah negara kerana sejarahnya meliputi keseluruhan Nusantara.

Menurut bukti tinggalan sejarah  yang terdapat di Chandi Borobudur dan Candi Prambanan di Jawa, dapatlah disimpulkan bahawa sudah wujud seni mempertahankan diri ini di kawasan kepulauan Melayu pada abad ke-8 Masihi.


Gerak Silat (ilham)

Manusia diberikan naluri untuk mempertahankan diri dan menyelamatkan diri dari bahaya, gerakan ini berdasarkan naluri yang sukar dijelaskan dan bukannya gerakan sebarangan.  Ilham ini datang dalam pelbagai cara seperti mimpi, sumber dari pertapaan dan pemerhatian terhadap gerak binatang. Suber ilham hakikatnya ini datang dari Pemberi Ilham (Rujuk Sifat 20). Ianya dizahirkan dengan pergerakan seni yang dinamakan Bunga. Gerakan ini memiliki pelbagai maksud tersirat dan dari asas gerak ini munculnya gerakan menepis, gerakan tapak, tumbukan, mengunci, menjatuhkan lawan, melangkah dan sebagainya. Gerak abstrak ini dipercayai menyimpan pelbagai gerak rahsia dan beribu buah.


Bunga Silat

Maka titah Seri Bentara, "Menari apalah Kiai Tuah. Inginlah kita hendak melihatmu menari." Maka sembah Tun Tuah, "Daulat tuanku andika, ini menari cara hulubalanglah."
(Hikayat Hang Tuah, 1971:126)

Melalui petikan Hikayat Hang Tuah tadi dapatlah disimpulkan bahawa gerakan silat bukanlah tari-menari semata-mata dan mengandungi rahsia tersembuyi.

Secara asasnya susunan pembelajaran silat dipecahkan kepada dua bahagian iaitu Bunga dan Buah.
Bunga merupakan gerak asas dalam silat. Gerak ini kemudiannya disusun dan membentuk buah silat. Terdapat salah faham yang menganggap bunga ialah tari menari yang bertujuan persembahan semata-mata. Ada juga pesilat yang menghafal bunga dan tidak tahu rahsia yang terkandung di dalamnya. Mereka buta sejarah dan tidak memahani apa itu Bunga Silat sebenarnya. Gerak Bunga diilhamkan kepada pengasas silat dan disusun menjadi tunggak utama persilatan tersebut. Contohnya Gayong Fatani  berasaskan Bunga Sembah

Bunga dikatakan sebagai pengenalan sesebuah silat, dan dipanggil Bunga Sembah. Adakalanya bunga dimainkan pada majlis keraian seperti perkahwinan dan hari-hari kebesaran. Ia merupakan identiti (signature) kepada sesebuah persilatan. Dengan melihat bungaya kita boleh mengenali apa jenis silatnya. Ia penting bagi mengelakkan pesilat dari terlibat dalam pergaduhan sesama peguruannya sendiri.

Bangsa Melayu tinggi adabnya walaupun ketika berlawan, adakalanya bunga dimainkan ketika pertarungan untuk menunjukkan pesilat menghormati pertarungan. Tidak seperti zaman sekarang orang mencarut dan memaki hamun ketika bergaduh. Bangsa Melayu menyanjung tinggi adab dan budi bahasanya. Dalam sopan orang Melayu ada kerasnya. Seperti bunga silat, indah lembut berseni geraknya tersimpan gerakan rahsia yang membunuh.

Bunga dimainkan oleh pesilat dalam waktu latihan walaupun secara berseorangan. Ia diamalkan berulang kali bertujuan membiasakan diri dengan gerak silatnya. Jika berlaku situasi kecemasan, secara automatik gerak silatnya akan terbentuk dengan sendirinya. Pesilat mengingati gerakannya walau tanpa perlu menghafal buah. Ia juga menguatkan sistem badan, menguatkan sistem pernafasan dan sebagai senaman (seperti senaman Taichi)
  • Bunga silat ialah senaman
  • Sempurna bunganya sempurnalah silatnya

Jurus  Atau Belebat

Jurus juga dikenali sebagai Belebat. Ia  merupakan pergerakan pantas yang berulang-ulang bertujuan untuk membiasakan gerak. Tujuannya agar pesilat terbiasa degan gerak-gerak jurus itu lantas tersimpan didalam nalurinya dan hasilnya gerak itu dapat dilaksanakan pada situasi pertarungan sebenar. Contohnya pesilat melangkah sambil tangan kiri menepis dan tangan kanan menumbuk dalam satu gerak ringkas. Berbanding Bunga, gerakan Jurus lebih kasar pantas dan bertenaga. Ia boleh dilakukan dengan senjata atau tangan kosong.

Gerakan jurus merupakan latihan yang berulang-ulang yang dilakukan supaya pesilat sebati dengan gerakan menyerang atau bertahan agar dalam situasi sebenar naluri pesilat telah terlatih dan membentuk gerakan yang efektif.

Buah Silat

Buah Silat adalah gabungan gerakan yang diasaskan oleh Bunga (gerak asas silat). Juga dikenali sebagai Buah Pukul. Ia ialah aturan langkah menyambut serangan sehingga pihak lawan ditumpaskan dalam satu aturan gerakan.

Contohnya:
1. Pesilat menunggu serangan, menyambut (menepis, membuang, menangkap atau mengelak)
2. Memukul dan menjatuhkan pihak lawan
3. Memberikan pukulan penutup (memukul, mengunci atau mematahkan sendi)
 Keseluruhan aturan ini dianggap sebagai satu buah yang lengkap. Setiap buah boleh dihabiskan dengan penutup yang berbeza contohnya pesilat boleh memilih mengunci lawannya, mencederakan, melumpuh atau bunuh berdasarkan pilihannya (finishing move).

Buah silat dikumpulkan oleh pengasas-pengasas silat dan diberikan nama. Kemudian disusun dalam sistem pembelajaran mengikut peringkat. Anak murid dikehendaki menghafal kesemua buah ini berdasarkan peringkat.yang akan diuji dan dibezakan dengan jenis bengkung sehinggalah tamat pengajian. Sistem pembelajaran ini diulang oleh guru-guru silat dalam setiap gelanggang yang dibuka.


Kesimpulan

Silat melayu sejarahnya panjang dengan pelbagai bentuk dan gaya. Keasliannya dan geraknya diabadikan dengan dipelajari dan diwariskan secara turun-temurun. Ia merupakan identiti kepada masyarakat Melayu dan hanya boleh disimpan dengan mempelajari dan diamalkan. Jika tidak ia akan pupus dan hanya dikenali melalui tulisan dan gambar sahaja.

Friday, 24 April 2015

Pengenalan Asal Silat

Assalamualaikum kepada saudara para penggemar silat semua.



Blog Asal Silat ditubuhkan bertujuan mengkaji Silat Melayu dari asal usulnya dan mencari kaedah praktikal dalam situasi sebenar jika nyawa diancam atau jika kita diserang.

Blog ini membuka sempadan Gaya Silat (tidak kira apa pun jenis silat yang anda pelajari) dengan memberikan pandangan terbuka tentang kaedah mana yang lebih sesuai digunakan untuk menghadapi pihak lawan dalam situasi sebenar bukan sekadar nampak gah hanya di dalam gelanggang.

Blog ini juga agak kritikal terhadap pemikiran jumud (pemikiran tertutup) terhadap satu-satu pertubuhan silat. Dan tidak ingin berkembang dan menerima pendapat di luar ideologi silat mereka. Apa sahaja teknik yang berkesan boleh dipraktikkan walau di luar teknik persilatan yang dipelajari.

Terdapat banyak silat dari pelbagai asal usul di Tanah Melayu dan keseluruhan Asia Tenggara ini. Masing-masing mendakwa silat mereka yang terbaik dan mutlak. Tetapi hakikatnya banyak buah-buah yang tidak praktikal digunakan. Banyak silibus pembelajaran yang sia-sia dan terlalu panjang. Banyak buah ilusi yang tidak boleh digunakan langsung dalam situasi sebenar. Silat mereka hanya sekadar demo di pentas yang memukau penonton tetapi hanya indah dipandang. Silat hanya menjadi ILMU PERSEMBAHAN. Dan akhirnya pengikut silat tersebut terlalu taksub dengan gaya tersebut dan tidak berjaya mengembangkan ilmu yang dipelajarinya.

Persoalan yang ingin dijawab dalam blog ini:

1. Apa asal usul Silat Melayu
2. Bagaimana saya boleh gunakan Silat dengan praktikal?
3. Bagaimana saya boleh mengembangkan lagi ilmu silat saya?
4. Bagaimana saya boleh menghadapi lawan dari seni beladiri yang lain?
5. Bagaimana jika saya diserang, betul ke Silat saya berguna?